KANTE meledak rembatan untuk gol kedua Chelsea.  FOTO EPA
KANTE meledak rembatan untuk gol kedua Chelsea. FOTO EPA
AFP

London: Thomas Tuchel menganggap N'Golo Kante pemain unik selepas bintang tengah Perancis itu yang masuk daripada bangku simpanan menjadi nadi kemenangan ketika Chelsea menewaskan Tottenham 3-0 awal pagi tadi.

Pengurus Blues, Tuchel memasukkan Kante selepas rehat apabila kecewa dengan prestasi Chelsea yang lesu pada babak pertama dan hasilnya mereka meledak dua gol pada awal babak kedua.

Thiago Silva menanduk masuk gol pembukaan dan rembatan jarak jauh Kante terkena Eric Dier sebelum menerjah gawang untuk jaringan kedua sebelum Antonio Rudiger menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga pada minit akhir bagi membolehkan Chelsea melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Tuchel tanpa ragu-ragu dan pantas memuji sumbangan pemenang Piala Dunia 2018 itu.

"Pemain yang hebat, jika anda miliki N'Golo, anda mempunyai sesuatu yang semua orang mahukan,'' kata Tuchel.

"Anda miliki apa sahaja diperlukan di bahagian tengah, kesungguhan, kemahiran, ketepatan hantaran malah kemampuan menjaringkan gol.

"Saya melihat ini setiap hari ketika latihan dan sukar dipercayai betapa bagusnya Kante. Dia pemain unik, tiada perkataan lain paling sesuai untuknya. N'Golo adalah N'Golo, dia fantastik.

"Jika anda ada N'Golo di bangku simpanan dan anda mahukan aksi lebih agresif, dia pemain terbaik kerana dia unik dan boleh mengubah momentum perlawanan.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 8:23 AM