Pemain TFC, Mohamad Hakimi Abdullah laung keazaman untuk membantu pasukan menumpaskan JDT. FOTO TFC
Pemain TFC, Mohamad Hakimi Abdullah laung keazaman untuk membantu pasukan menumpaskan JDT. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain Terengganu FC (TFC), Mohamad Hakimi Abdullah melaungkan keazaman untuk membantu pasukannya mengulangi kejayaan mencalar ego juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan itu bertembung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Pemain sayap kiri meningkat naik berusia 22 tahun itu yang muncul penjaring tempatan terbanyak Liga Super dengan lima gol bersama pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar juga turut mengintai peluang untuk menjaringkan gol bagi memastikan tiga mata menjadi milik pasukannya lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri pada aksi ke-21 itu.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri April lalu, pemain kelahiran Kelantan itu mencetuskan sensasi apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-56 memastikan skuad Penyu pulang ceria merakam kemenangan 1-0 sekali gus mencalar ego skuad Harimau Selatan yang sebelum itu gah mempertahankan rekod tanpa kalah 21 perlawanan berturut-turut.

"Alhamdulillah pada aksi pusingan pertama, tiga mata memihak kepada pasukan kami, lebih menggembirakan kemenangan itu adalah hasil jaringan tunggal saya.

"Malah saya bagaikan tidak percaya mampu menghasilkan jaringan pada perlawanan itu kerana apa yang kita tahu benteng pertahanan lawan sukar ditembusi termasuk penjaga gol mereka.

"Lagipun peminat tahu skuad JDT dibarisi pemain berkualiti dan lengkap pada setiap posisi, tapi Alhamdulillah rezeki memihak kepada kami berjaya merakam kemenangan ketika itu.

"Jadi untuk pertemuan Sabtu ini, sudah pasti saya mahu mengulangi pencapaian itu dan fokus kini untuk melakar kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri bagi mencabar juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu.

"Bagi menyuntik semangat kami, saya harapkan peminat setia pasukan perlu sentiasa memberikan sokongan padu melalui pelbagai medium walaupun aksi berlangsung tanpa kehadiran penyokong," kata anak bongsu daripada 15 adik-beradik itu.

Jika TFC berjaya merakam kemenangan, peluang buat skuad kendalian Nafuzi Zain itu untuk mengintai peluang menghuni di tangga kedua liga masih terbuka walaupun kini menghuni di tempat ketiga liga di belakang KDA FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:07 PM