Dua pemain KL City FC bersaing dengan pemain TFC, David Da Silva (tengah) pada aksi Liga Super malam tadi. FOTO Aswadi Alias
Dua pemain KL City FC bersaing dengan pemain TFC, David Da Silva (tengah) pada aksi Liga Super malam tadi. FOTO Aswadi Alias
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd bakal melakukan 'bedah siasat' segera berhubung kekalahan kedua berturut-turut pasukan Terengganu FC (TFC) yang sekali gus menyukarkan lagi peluang buat skuad Penyu itu untuk mengintai kedudukan kedua Liga Super.

Malah skuad kendalian Nafuzi Zain yang kini menghuni di kedudukan ketiga liga dilihat berada dalam kedudukan bahaya tergelincir di tangga lagi bawah liga selepas dihimpit dua lagi pasukan iaitu Penang FC dan Selangor FC.

Skuad Penyu yang berhasrat untuk memburu tiket lebih awal ke saingan Piala AFC musim depan bagi mengulangi pencapaian musim ini selepas menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga musim lalu juga bakal melalui laluan berliku untuk kembali menghuni di tangga kedua liga kerana kelebihan kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mempunyai baki empat perlawanan lagi berbanding dua buat skuad itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pihak pengurusan tiada pilihan lain kecuali berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada menjelang pertemuan dengan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan terakhir menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 12 September.

Beliau yang mengakui kecewa dengan persembahan skuad itu yang tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi dan 1-2 kepada KDA FC minggu lalu mahukan skuad itu bangkit merakam kemenangan dalam dua aksi terakhir itu.

"Kami tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan kekalahan kali kedua berturut-turut terutama pada saat-saat penghujung liga kerana setiap mata begitu berharga buat pasukan untuk memburu kedudukan terbaik liga.

"Berikutan kekalahan kedua berturut-turut itu, atas kertas saya lihat sukar bagi pasukan kami untuk menghuni di kedudukan kedua liga pada musim ini, malah pasukan mungkin boleh tertendang lagi di kedudukan keempat atau kelima liga atau lebih buruk daripada musim lepas di tangga ketiga.

"Harapan saya dengan berbaki empat hari lagi sebelum bertemu JDT di tempat sendiri, pihak pengurusan sedaya upaya berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada supaya kami dapat mengutip mata penuh sekali gus dapat memperbaiki kedudukan dalam carta liga," katanya.

Berdasarkan pungutan mata terkini, TFC kini berkongsi 37 mata dengan Penang FC yang menghuni di tangga keempat liga manakala Selangor FC dengan 33 mata di kedudukan kelima hasil 20 perlawanan, namun KDA FC berada di kedudukan lebih selesa untuk layak ke pentas Piala AFC musim depan selepas mengumpul 38 mata di tempat kedua di tambah pula berkelebihan dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:35 PM