PENGENDALI KDA FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan bonus buat skuadnya menundukkan TFC malam tadi. FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI KDA FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan bonus buat skuadnya menundukkan TFC malam tadi. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan menumbangkan pasukan di tangga kedua Liga Super, Terengganu FC (TFC) adalah bonus buat skuadnya yang hadir dengan misi satu mata.

Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, pujian harus diberikan kepada anak buahnya yang berjaya memperagakan aksi terbaik dengan bijak menyerap tekanan terutama pada babak pertama biarkan kerap diasak selain lawan mendominasi permainan.

Katanya, tiga mata yang berjaya dikutip di tempat lawan mencerahkan lagi pemburuan untuk mencabar kedudukan kedua liga.

Namun beliau tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya kerana bukan mudah untuk meletakkan sasaran dua kedudukan teratas, sebaliknya beliau akan fokus satu demi satu perlawanan lebih-lebih lagi jadual begitu padat buat pasukannya.

"Kredit harus diberikan kepada pemain yang bekerja keras sebelum berjaya merakam kemenangan malam ini (malam tadi) walaupun kita tahu bukan tugas mudah beraksi di Kuala Terengganu lebih-lebih lagi pasukan itu berjaya menumpaskan kami di Stadium Darul Aman pada pusingan pertama.

"Kemenangan ini juga adalah momentum terbaik buat kami untuk meneruskan baki enam perlawanan lagi bagi mengintai kedudukan lebih baik sebelum menamatkan saingan liga walaupun kita hadir dengan misi satu mata.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, skuad Lang Merah itu berjaya membalas dendam kekalahan 1-2 pada aksi pusingan pertama selepas merakam keputusan sama menundukkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Dengan kemenangan itu, Lang Merah kini menghuni di tangga keempat liga berkongsi 32 mata dengan Selangor yang berkelebihan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:26 PM