SANCHO tambah sengat jentera serangan United. FOTO Agensi
SANCHO tambah sengat jentera serangan United. FOTO Agensi
AFP

Manchester: Red Devils berdepan kekecewaan selepas gagal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu namun mereka bakal memulakan musim baharu dengan penuh keyakinan selepas mendapatkan dua pemain berprofil tinggi.

Ketibaan Jadon Sancho ke Old Trafford dari Borussia Dortmund menamatkan misi sukar dua tahun untuk mendapatkan bintang muda itu tetapi United tidak berdepan masalah mendapatkan Raphael Varane dari Real Madrid.

Bajet lebih daripada £100 juta (RM586 juta) sekurang-kurangnya meredakan kemarahan penyokong ke atas pemilik kelab, keluarga Glazer yang terbabit dalam perancangan menganjurkan Liga Super Eropah.

Pertembungan United dan Liverpool pada Mei lalu terpaksa ditunda apabila penyokong menceroboh padang ketika larangan ke stadium masih berkuat kuasa susulan pandemik koronavirus.

Dengan sekatan dikurangkan, aksi Sabtu ini bakal menyaksikan kehadiran 76,000 penyokong di Old Trafford yang menerima kunjungan Leeds pada perlawanan pertama musim baharu Liga Perdana.

Buat kali pertama sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013, United menghuni kelompok empat teratas dua musim berturut-turut untuk layak ke Liga Juara-Juara yang lumayan sekali gus membolehkan mereka menandatangani pemain baharu seperti Sancho dan Varane.

Tetapi selepas menduduki tangga kedua di belakang Manchester City musim lalu, tekanan kini di bahu pengendali, Ole Gunnar Solskjaer untuk menamatkan penantian lapan tahun tanpa gelaran liga.

"Kami meningkat dari tangga ketiga ke tangga kedua musim lalu. Kami mara tiga aksi separuh akhir dan berjaya ke final satu daripadanya, jadi ia mengenai langkah baharu selepas ini,'' kata Solskjaer. "Itu cabarannya. Perpindahan bagus, urusan kami selesai awal dan saya berpuas hati dengan apa yang kami lakukan,'' kata Solskjaer.

"Saya rasa kami hilang banyak mata pada awal musim. Tapi dari 1 November sehingga menentang Leicester pada Mei, kami hanya tewas sekali aksi liga dan konsistensi ini yang kami mahu kekalkan.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 9:16 AM