GARNACHO (tengah) menjaringkan gol kemenangan Manchester United pada masa kecederaan. FOTO EPA
GARNACHO (tengah) menjaringkan gol kemenangan Manchester United pada masa kecederaan. FOTO EPA
AFP

London: Pemain muda Argentina, Alejandro Garnacho masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pada masa kecederaan dan membantu Manchester United menang 2-1 di Fulham, malam tadi.

Pada mulanya, tuan rumah dilihat mampu memperoleh satu mata pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum rehat sempena Piala Dunia.

Tetapi, Garnacho melakukan hantaran satu dua dengan Christian Eriksen pada minit terakhir dari tiga minit masa tambahan dan pemain berusia 18 tahun itu meluru ke dalam kotak penalti sebelum menolak bola melepasi Bernd Leno.

"Dia memiliki bakat yang besar dan kerja kerasnya bersama bakat membawa perubahan besar kepada kami dari bangku simpanan," kata kapten United, Bruno Fernandes kepada BBC ketika ditanya mengenai Garnacho.

"Kami gembira untuknya dan tahu dia mampu memberikan kami gol, bantuan jaringan dan membuktikan keseronokan bermain bola sepak."

Menerusi serangan balas pantas, Eriksen meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-14 di Craven Cottage yang juga gol sulungnya untuk United.

Tetapi, bekas penyerang United, Daniel James menyamakan kedudukan untuk Fulham pada minit ke-60, selepas masuk sebagai pemain gantian kepada Harry Wilson.

"Ia tepat pada masanya!," kata Eriksen mengenai gol sulungnya itu.

"Saya terlepas beberapa kali, jadi sangat gembira berada dalam senarai penjaring sebelum ke Piala Dunia."

United kekal di tangga kelima liga, tetapi kemenangan itu menyaksikan mereka ketinggalan tiga mata di belakang pasukan tempat keempat, Tottenham manakala Fulham kekal di tangga kesembilan.

Anak buah Erik ten Hag tiba di London tanpa beberapa pemain senior termasuk Cristiano Ronaldo, Antony, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

Fulham turut kehilangan penyerang berbisa yang cedera, Aleksandar Mitrovic, tetapi bermula cemerlang di tempat sendiri apabila penjaga gol United, David De Gea terpaksa menyelamatkan percubaan awal Carlos Vinicius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 8:21 AM