SOLSKJAER mengakui bahawa United adalah kelab yang sangat bermakna buatnya. FOTO AFP
SOLSKJAER mengakui bahawa United adalah kelab yang sangat bermakna buatnya. FOTO AFP
AFP

Manchester: Ole Gunnar Solskjaer berharap Manchester United akan lebih baik daripada yang dipimpinnya sejak tiga tahun lalu selepas pengendali kelahiran Norway itu dipecat kelab berkenaan semalam.

Selepas kekalahan memalukan 1-4 kepada Watford tugas Solskjaer ditamatkan apabila pengurusan kelab hilang kepercayaan terhadap pengendali berusia 48 tahun itu termasuk tumpas dengan jaringan besar di laman sendiri kepada seteru utama, Liverpool dan Manchester City.

"Kelab ini sangat bermakna buat saya namun saya gagal mendapatkan keputusan yang kita perlukan dan ia adalah masa untuk saya meninggalkan pasukan.

"Anda tahu betapa kelab ini sangat bermakna buat saya dan saya mahu meraih sesuatu di sini, buat kelab, buat peminat, buat pemain, buat staf. Saya mahu kita berdepan cabaran seterusnya untuk saingan liga dan memenangi trofi," katanya.

Solskjaer diberikan tugas sementara pada Disember 2018 berikutan statusnya sebagai legenda kelab selepas menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999 untuk melengkapkan kejayaan treble United.

Selepas memenangi 14 daripada 19 perlawanan, beliau diberikan tugas untuk mengendalikan pasukan secara tetap.

Dua musim yang membanggakan selepas beliau berjaya membawa United berada dalam kelompok empat terbaik liga dua kali berturut-turut dan kali pertama sejak Alex Ferguson bersara sebagai pengurus United pada 2013.

Bagaimanapun, beliau gagal untuk membawa pulang trofi selepas tumpas empat saingan separuh akhir berebut piala dan musim lalu tumpas dalam perlawanan akhir Liga Europa dalam penentuan penalti menentang Villarreal.

Harapan tinggi diletakkan untuk mencabar kejuaraan liga musim ini selepas berjaya membawa masuk Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

Bagaimanapun, United kalah lima daripada tujuh perlawanan liga dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:38 AM