PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera meraikan jaringannya ketika menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Ahad lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera meraikan jaringannya ketika menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Ahad lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hanya pemain positif perlu dikuarantin manakala pasukan boleh meneruskan perlawanan liga seperti biasa.

Itu antara 'permintaan' Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya membenarkan pasukan Liga Malaysia meneruskan saingan walaupun terdapat segelintir pemain mereka disahkan positif.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, cadangan itu berpandu kepada corak atau kaedah dipraktikkan di beberapa negara luar untuk diguna pakai dalam usaha memerangi Covid-19 tanpa menjejaskan perjalanan liga.

"Jika kita lihat kepada penganjuran liga bola sepak di luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL) England, LaLiga Sepanyol, Serie A Itali serta baru-baru ini Euro 2020 dan kejohanan dianjurkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). "Kuarantin hanya dikenakan kepada pemain positif sahaja manakala pemain lain dibenarkan untuk meneruskan latihan dan bermain.

"Oleh itu, segala tindakan susulan hanya akan diumum berdasarkan keputusan MKN dan KKM untuk mempertimbangkan hanya pemain yang didapati positif saja dikuarantin manakala perlawanan liga diteruskan seperti biasa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, MFL terpaksa membatalkan tiga aksi susulan beberapa pemain didapati positif selepas ujian calitan PCR dilakukan sehari sebelum perlawanan.

Perlawanan dibatalkan antaranya aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC di Stadium Darul Aman.

Selain itu, pasukan Liga Perdana turut terkena tempias membabitkan perlawanan Kuching City FC (KCFC) dan Terengganu FC II (TFC II) selain Sarawak United menentang Perak FC II, dengan kedua-duanya berlangsung di Sarawak turut dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:12 PM