PENYOKONG rindu kembali ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.
PENYOKONG rindu kembali ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ada sinar untuk penyokong kembali ke stadium apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menghantar permohonan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempertimbangkan perkara terbabit pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M).

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan itu termasuklah membabitkan pemain yang didapati positif saja perlu menjalani kuarantin manakala individu disahkan negatif boleh menjalani latihan seperti biasa.

Beliau berkata, MFL juga turut membentangkan garis panduan yang harus dipatuhi oleh setiap penyokong dengan mereka perlu lengkap dua dos vaksin sebelum dibenarkan memasuki stadium.

"Kita sudah sediakan surat permohonan untuk meminta kebenaran penyokong ke stadium termasuklah membenarkan pemain saja (disahkan positif) dikuarantin manakala yang lain jika negatif boleh menjalani latihan.

"Kelonggaran individu atas dua dos vaksin harus dipertimbangkan oleh MKN dan hanya benarkan penyokong ke stadium yang mempunyai dua dos saja seterusnya perlu menunjukkan sijil di MySejahtera di setiap pintu pagar.

"Kita tak minta banyak cuma kalau boleh dapat kekalkan peratusan kemasukan ke stadium seperti sebelum ini atau tingkatkan sedikit untuk meriahkan liga dan beri kelegaan kepada pasukan," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Pada Mac lalu, kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium atau lokasi bagi kejohanan-kejohanan sukan seperti Liga M tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara syarat itu ialah bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kapasiti penonton adalah 10 peratus atau 2,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula, sebanyak 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa. Namun, kelonggaran itu ditarik kembali apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan hampir seluruh negara sekali gus penyokong bola sepak tidak dibenarkan memasuki stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 9:48 PM