Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) menolak permohonan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya hanya pegawai dan pemain positif Covid-19 sahaja perlu menjalani proses kuarantin.

Ini bermakna, jika ada mana-mana pemain selepas ini yang didapati positif Covid-19 akan menyebabkan perlawanan liga membabitkan pasukan mereka ditunda berikutan perlu melalui proses kuarantin selama 14 hari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa keputusan MKN itu menjadi salah satu faktor pihaknya terpaksa melakukan pindaan jadual Liga Super dan Liga Perdana.

Beliau berkata, keputusan MKN untuk menolak permohonan MFL dibuat selepas mengambil kira kes harian Covid-19 yang semakin serius dan menular dengan cepat dalam negara ketika ini.

"MFL akur dengan keputusan MKN yang mana individu yang didapati positif wajib menjalani prosedur operasi standard (SOP) selama 14 hari bagi memastikan mereka sembuh dan mengelak daripada penyebaran Covid-19 dalam pasukan.

"Jadi pemain yang kontak rapat (tidak positif) pula dikehendaki menjalani kuarantin 10 hari di mana mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan sepanjang tempoh kuarantin.

"MFL berharap semua pasukan lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kepatuhan SOP Covid-19 bagi memastikan tiada kes berlaku lagi selepas ini demi menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini," katanya.

Mengikut rekod, MFL sebelum ini mengemukakan permohonan kepada MKN supaya hanya pemain dan pegawai yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin dan bukannya membabitkan seluruh pasukan.

Langkah itu dianggap boleh mengelak perlawanan membabitkan pasukan yang didapati berdepan jangkitan virus berkenaan terpaksa ditunda, sekali gus tidak mengganggu kelancaran Liga M.

Sementara itu, Ab Ghani turut mengumumkan pindaan terbaharu jadual Liga Super dan Liga Perdana bagi baki aksi saingan musim ini.

Beliau berkata keputusan itu terpaksa diambil selepas merujuk kes membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuching City FC (KCFC) yang perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari apabila pemain dan pegawai mereka disahkan positif Covid-19.

Katanya, pindaan jadual perlu dilakukan bagi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan Liga M selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan KDA dan tujuh perlawanan Liga Perdana membabitkan KCFC terpaksa ditunda susulan kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:37 PM