PEMAIN Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha (tengah) menanduk bola melepasi pemain Terengganu FC II, Zuasyraf Zukiefle (kanan) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI

PEMAIN Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha (tengah) menanduk bola melepasi pemain Terengganu FC II, Zuasyraf Zukiefle (kanan) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI

Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kebanyakan pasukan menarik nafas lega apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar hanya pegawai dan pemain positif Covid-19 sahaja dikuarantin.

Langkah itu bertepatan dengan apa dilakukan beberapa liga luar negara, sekali gus memastikan perlawanan dapat berlangsung seperti dirancang serta tidak menjejaskan perancangan pasukan.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak mengakui, mereka sangat terkesan dengan situasi sekarang apabila tidak dapat turun beraksi memandangkan penyertaan Piala AFC dibatalkan.

"Saya rasa itulah solusi terbaik perlu ada pada ketika ini, kalau tidak berapa banyak perlawanan perlu ditangguh lagi dan akan memakan masa lama.

"Pasukan saya, satu hari sahaja lagi nak beraksi, terpaksa terima berita penangguhan ini pada saat kami semua sudah bersedia dan perancangan semua sedikit terjejas.

"Jadi, saya rasa pertimbangan dapat diberi kepada mereka yang negatif untuk meneruskan tugas, ambillah contoh liga di luar negara, Eropah dan Euro 2020 sekalipun apabila pemain positif sahaja perlu dikuarantin.

"Jujur saya cakap, kami semua memang sangat sedih dan kecewa kerana selepas Piala AFC yang patut kita lupakan, sekarang kena berdepan perkara ini pula," katanya.

MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan sudah membuat permohonan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga Malaysia (Liga M) dan dihantar melalui KBS untuk pertimbangan KKM dan MKN.

Katanya, MFL mengusulkan supaya hanya pegawai dan pemain positif Covid-19 dikuarantin manakala mereka disahkan negatif dibenarkan berlatih dan dalam masa sama meneruskan perlawanan liga seperti dijadualkan.

Dua perlawanan Liga Super iaitu antara KDA FC dan Penang FC serta PJ City FC dan KDA FC ditunda ekoran terdapat dua pemain Kedah diuji positif.

Sementara bagi Liga Perdana, tiga perlawanan ditunda iaitu membabitkan Sarawak United FC-Perak FC II, Kuching City FC-Terengganu FC II dan Kuching City FC-Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Hasrat itu turut disokong ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, yang menjelaskan pihaknya sedaya upaya mengikut segala arahan ditetapkan dan melihat cadangan itu adil kepada semua pasukan.

"Saya rasa itu langkah baik untuk kita memohon pertimbangan MKN kerana pasukan kami setiap kali perlawanan, memang akan sentiasa buat ujian RTK.

"Jadi saya rasa seeloknya pemain negatif dibenarkan untuk terus berlatih dan beraksi dalam perlawanan manakala pemain positif teruskan kuarantin seperti ditetapkan.

"Kami di Kuching City FC sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan sebab itu kami tidak pernah ketinggalan untuk sentiasa melakukan ujian, jadi sekiranya hasil ujian adalah negatif, saya harap kami diberi kelonggaran untuk beraksi," kata Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:18 PM