GAMBAR file penyerang Perancis, Antoine Griezmann. FOTO AFP
GAMBAR file penyerang Perancis, Antoine Griezmann. FOTO AFP
AFP

Paris: Syarikat permainan video Jepun, Konami hari ini berkata, pihaknya memecat penyerang Perancis itu sebagai duta produk selepas isu perkauman membabitkan penyerang Barcelona itu bersama rakan sepasukannya, Ousmane Dembele.

"Sebelum ini, kami mengumumkan Antoine Griezmann sebagai duta Yu-Gi-Oh!, tetapi berikutan perkembangan terbaru itu, kami memutuskan untuk membatalkan kontrak itu," kata firma itu menerusi satu kenyataan mengenai siri daripada komik itu.

"Konami Digital Entertainment percaya, sama seperti falsafah dalam sukan, sebarang bentuk diskriminasi tidak boleh diterima," tegas syarikat itu sambil menyatakan akan menghubungi Barcelona untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai kes itu dan tindakannya.

Isu itu timbul apabila Dembele meminta maaf, awal minggu ini kerana membuat komen berbaur perkauman dalam video yang tular di media sosial.

Dembele, 24, memohon maaf, Isnin lalu, selepas video berdurasi 42 saat itu yang menyaksikan dia melakukan Snapchat pad 2019, tersebar di Internet.

Ia menunjukkan Dembele, yang bersama skuad Barcelona ketika jelajah pra-musim di Jepun, dua tahun lalu, bercakap dengan Griezmann ketika menanti juruteknik tempatan menyambung alat permainan ke televisyen di bilik hotel.

Dembele merujuk 'muka hodoh' pada ketika juruteknik itu sedang bekerja dan mengejek bahasa Jepun, sebelum berkata: "Adakah negara anda sudah maju atau tidak."

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat elektronik Jepun, Rakuten, yang juga penaja utama pada jersi Barcelona, semalam berkata, dia mahu penjelasan daripada kelab itu mengenai perkara terbabit.

"Sebagai penaja kelab dan tuan rumah kepada jelajah itu, saya cukup kesal dengan kenyataan pemain Barcelona," kata Hiroshi Mikitani menerusi Twitter dan menyifatkan ia tidak boleh diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 11:27 PM