PEMAIN Perancis, Ousmane Dembele (kiri) berebut bola depan pemain Hungary, Attila Fiola ketika seri 1-1 dalam aksi Kumpulan F, Sabtu lalu. FOTO EPA
PEMAIN Perancis, Ousmane Dembele (kiri) berebut bola depan pemain Hungary, Attila Fiola ketika seri 1-1 dalam aksi Kumpulan F, Sabtu lalu. FOTO EPA
AFP

Budapest: Pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele, yang cedera ketika bersama skuad kebangsaan di Euro 2020, perlu dibedah, kata kelabnya, Barcelona, hari ini.

Menerusi laman web, kelab itu memaklumkan ujian dilakukan hari ini mendapati 'otot lutut kanan pemain itu terkehel' dan perlu dibedah.

Dembele yang meninggalkan kem skuad Perancis selepas disahkan tersisih bagi baki Euro 2020, mungkin tidak dapat bermain selama empat bulan, kata sumber.

Barcelona memulakan musim panas dengan menandatangani penyerang veteran, Sergio Aguero menerusi perpindahan percuma manakala Ahad lalu, seorang lagi pemain menyerang iaitu bintang Memphis Depay, turut menyertai pasukan secara percuma dari Lyon.

Bagi Dembele, ia adalah kecederaan kedua seumpamanya selepas masalah otot paha kanan pada Februari 2020.

Dembele, 24, yang masuk sebagai pemain gantian, cedera pada minit akhir ketika Perancis seri 1-1 dengan Hungary di Budapest, Sabtu lalu.

Dia tampil sebagai pemain gantian buat Perancis dalam kedua-dua aksi di Euro 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 1:35 AM