SEBAHAGIAN barisan pemain Sarawak United. FOTO Ihsan Sarawak United
SEBAHAGIAN barisan pemain Sarawak United. FOTO Ihsan Sarawak United
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sarawak United berdepan penggantungan lesen bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas kelab itu dipalit isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain utama.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga M, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab bakal meneliti status kewangan semua pasukan musim ini sebelum badan itu mengeluarkan lesen kebangsaan kepada mana-mana pasukan untuk bersaing pada musim depan.

Antara perkara yang akan diteliti oleh FIB adalah berkenaan tunggakan gaji serta tunggakan hutang dengan agensi kerajaan sama ada membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Lantas situasi itu pastinya mencemaskan Sarawak United yang kini didakwa culas dalam menyelesaikan gaji pemain selama dua bulan sejak Ogos lalu.

Mengesahkan perkara terbabit, peguam yang mewakili dua tonggak import dari Sarawak United, Zhafri Aminurashid, mengakui sudah menyerahkan notis tuntutan kepada pengurusan kelab yang akan berakhir Jumaat ini.

"Ada dua pemain import yang menuntut tunggakan gaji daripada Sarawak United, di samping bonus kemenangan dalam tujuh perlawanan serta perkara lain yang masih tertunggak.

"Kami dah hantar notis dan tempoh 15 hari untuk mereka (Sarawak United) menjelaskan segala tunggakan itu akan berakhir pada Jumaat ini.

"Jika gagal, kita akan bawa isu ini ke Fifa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji membabitkan Sarawak United pernah dilaporkan Arena Metro, namun ia kemudiannya dinafikan kelab terbabit.

Malah pada Ogos lalu, Pengerusi Sarawak United FC, Datuk Posa Majais mengesahkan terdapat sedikit kelewatan pembayaran gaji disebabkan pengemaskinian akuan pasukan yang kurang teratur kerana terdapat pemain memohon pendahuluan gaji.

Sarawak United bakal beraksi di Liga Super musim depan selepas menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua di belakang Negeri Sembilan FC musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:22 PM