HAALAND dilaporkan menjadi buruan City untuk menggantikan Aguero (kanan).
HAALAND dilaporkan menjadi buruan City untuk menggantikan Aguero (kanan).
AFP

Manchester: Pingat pemenang Liga Juara-Juara satu-satunya yang masih belum dimiliki Sergio Aguero sebagai legenda Manchester City.

Tetapi pengganti berpotensinya di Etihad musim depan, Erling Braut Haaland akan menjadi ancaman terbesar kepada skuad Pep Guardiola yang boleh tersekat sekali lagi pada suku akhir apabila menentang Borussia Dortmund pada Rabu ini.

City gagal melepasi peringkat lapan terakhir sejak Guardiola mengambil alih tugas di Manchester empat musim lalu tetapi mereka menang 26 daripada 27 aksi terakhir dalam semua kejohanan bagi mencerahkan peluang merangkul empat kejuaraan.

Aguero muncul penjaring terbanyak kelab dengan 257 gol dalam 384 perlawanan termasuk jaringan penting ketika City merampas gelaran Liga Perdana daripada Man United pada musim 2011/2012.

Jaringannya membolehkan City meraih tiga lagi gelaran liga dengan yang kelima dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Bagaimanapun, pada musim ke-10 dan terakhirnya, sumbangan pemain berusia 32 tahun itu makin berkurangan.

Aguero hanya meledak tiga kali pada musim yang terjejas akibat koronavirus.

Sebaliknya, rekod Haaland dengan 49 gol dalam 50 perlawanan bersama Dortmund menjadikan dia sasaran utama untuk menggantikan Aguero.

Malah rekod pemain muda Norway itu dalam saingan Liga Juara-Juara lebih menarik apabila menjadi pemain pertama paling pantas meledak 20 gol dalam hanya 14 penampilan saingan kompetitif Eropah.

Jika Dortmund mampu mengejutkan City, lawan pada separuh akhir bukan mudah apabila Bayern Munich atau Paris Saint-Germain sedia menunggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:36 PM