AGUERO (tengah) harap dapat bersama City hingga tamat kontrak. FOTO/AFP
AGUERO (tengah) harap dapat bersama City hingga tamat kontrak. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Sergio Aguero berkata dia mahu kekal bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City sehingga kontraknya berakhir pada tahun 2020.

Penyerang 29 tahun Argentina itu sebelum ini dikatakan tidak gembira kerana tidak selalu dipilih mengisi kesebelasan utama City.

Bagaimanapun, dia kini dijangka bakal menjadi pilihan utama untuk memulakan permainan dengan pemain muda Brazil Gabriel Jesus mengalami kecederaan ligamen lutut ketika keputusan seri 0-0 menentang Crystal Palace Ahad lalu.

“Saya mempunyai sehingga 2020, saya rasa,” kata Aguero berkenaan kontraknya.

“Secara jujurnya saya harap dapat kekal sehingga tamat kontrak dan saya akan cuba sebaik mungkin bermula sekarang hingga akhir musim, dan selepas itu kita lihat apa yang akan berlaku kepada saya.”

Aguero adalah penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dan dia meledak gol ke-185 untuk City ketika kemenangan 3-1 ke atas Watford semalam.

Aguero bersama City sejak tahun 2011 dan dia menjaringkan gol paling bermakna pada hari terakhir musim 2011-12 untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris sekali gus mengecewakan seteru tetangga Manchester United.

Aguero menegaskan dia ingin kekal bersama kelab tetapi sedar keputusan akhir tidak terletak di tangannya.

“Saya amat gembira di sini tetapi, seperti sering saya katakan, keputusan terletak di tangan kelab,” kata Aguero.

“Hanya mereka yang dapat menentukan, kerana jelas sekali kelab yang bertanggungjawab membuat keputusan, mereka yang akan memutuskan sama ada anda kekal atau pergi. Jadi saya hormati apa saja keputusan mereka.”

Pengendali City Pep Guardiola juga seakan mahu Aguero kekal selama mana yang dia mahu, berdasarkan apa yang dikatakannya Disember lalu.

“Dia adalah legenda,” kata Guardiola. “Dia yang menentukan tentang kehidupan dan masa depannya. Saya gembira dia bersama kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:53 PM