AKSI  Aguero mengambil sepakan penalti ketika menentang Chelsea di Etihad pada 8 Mei lalu. FOTO AFP
AKSI Aguero mengambil sepakan penalti ketika menentang Chelsea di Etihad pada 8 Mei lalu. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kepada Sergio Aguero tiada ruang sentimen ketika dia memilih barisan pemain yang akan menentang Chelsea pada final Liga Juara-Juara hujung bulan ini.

Aguero mengumumkan dia akan meninggalkan City penghujung musim ini selepas 10 tahun cemerlang bersama juara Liga Perdana.

Penyerang Argentina itu muncul penjaring terbanyak City sepanjang zaman tetapi musim terakhirnya dibayangi kecederaan yang menghadkan penampilannya kepada 18 perlawanan sahaja.

Aguero bakal terlepas menentang Brighton awal pagi esok akibat masalah 'adductor'.

Dia mungkin boleh tampil aksi terakhir di Stadium Etihad menentang Everton pada Ahad ini tetapi Guardiola enggan memberi jaminan penyerang berusia 32 tahun itu akan diturunkan pada aksi final Liga Juara-Juara 29 Mei ini.

"Saya tiada sentimen. Saya perlu buat keputusan terbaik untuk menang dan saya tak boleh terburu-buru,'' kata Guardiola mengenai pemilihan pemain.

"Jika Sergio cergas, itu sudah pasti. Jika dia dapat bantu kami jaring gol dia akan beraksi tetapi ia adalah final Liga Juara-Juara. Saya perlu buat keputusan tepat yang memberikan kami peluang terbaik menang perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:48 AM