Ketua jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley. FOTO Asrol Awang
Ketua jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Tugas getir bakal menanti Sri Pahang FC apabila berdepan Selangor FC pada perlawanan pertama saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Ketua jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley berkata, ini kerana tuan rumah memiliki barisan pemain yang bagus terutama import yang memerlukan pemainnya bekerja keras.

"Pada masa sama, Selangor akan memastikan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatatkan kemenangan.

"Bagaimanapun kami juga mahukan kemenangan terutama pada perlawanan pertama liga sebagai suntikan semangat.

"Saya percaya dengan persiapan yang dilakukan termasuk beraksi pada perlawanan persahabatan baru-baru ini akan membantu meningkatkan prestasi pasukan.

"Sebagai jurulatih, sudah pasti saya inginkan kemenangan pada setiap perlawanan dan diharapkan semua pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka," katanya.

Pada perlawanan malam esok, jurulatih kelahiran Jerman itu bakal mempertaruhkan dua penyerang import, Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique untuk mengetuai jentera serangan Sri Pahang.

Tiga import lain iaitu Herold Goulon dan Mamadou Wague akan mengukuhkan bahagian pertahanan manakala jentera tengah pula dikawal Lee Tuck.

Dalam perkembangan berkaitan, Dooley berkata, pemain pertahanan import, Goulon dilantik sebagai kapten pasukan. Katanya, pengalaman dan pilihan di kalangan pemain akan memastikan Goulon mampu memimpin pasukan terutama mengukuhkan benteng pasukan.

"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat bermain dengan baik dan tiga mata menjadi misi utama pasukan malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:51 PM