DOOLEY (dua kanan) bersama Mohammed Suffian (dua kiri), Dollah Salleh (kanan) dan penolong pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh (kiri) ketika majlis pelancaran jersi Sri Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
DOOLEY (dua kanan) bersama Mohammed Suffian (dua kiri), Dollah Salleh (kanan) dan penolong pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh (kiri) ketika majlis pelancaran jersi Sri Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mensasarkan sekurang-kurangnya satu piala bakal dijulang pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengerusi Sri Pahang FC, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah berkata, sasaran berkenaan berdasarkan senarai barisan kejurulatihan dan pemain berpengalaman termasuk import.

"Misi pasukan ialah untuk meningkat dan mempamerkan prestasi terbaik berbanding musim lalu dan sasaran sekurang-kurangnya satu piala yang dipertandingkan musim ini menjadi milik Sri Pahang.

"Sehubungan itu, dengan kerjasama semua pihak dalam Sri Pahang, barisan kejurulatihan dan pemain, misi itu akan tercapai," katanya ketika media ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi Sri Pahang musim 2021 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Sri Pahang, Rizal Chek Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang; ketua jurulatih, Thomas Dooley dan pengurus, Dollah Salleh.

Musim ini, Sri Pahang mempertaruhkan lima import iaitu Yevhen Bokhashvili, Pedro Henrique, Herold Goulon, Mamadou Wague dan Lee Tuck.

Selain Dooley, Sri Pahang menyenaraikan dua penolong ketua jurulatih, Ahmad Yusof dan Christophe Gamel serta Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Sharulnizam Sahat selaku penolong jurulatih.

Mengulas pelantikan Dooley selaku ketua jurulatih Sri Pahang, beliau percaya pengalaman yang dimiliki jurulatih kelahiran Jerman itu mampu membantu pasukan berkenaan.

Katanya, selain itu, Dooley juga dibantu barisan kejurulatihan dan pemain untuk memastikan Sri Pahang melakar kejayaan bermakna musim ini.

"Kehadiran Dooley diharap menaikkan semangat pemain berdasarkan pengalaman yang dimiliki di pentas antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:46 PM