PENYERANG Perak FC, Guilherme De Paula mengasak gawang pasukan tuan rumah di Stadium Darul Makmur. FOTO FB Sri Pahang FC
PENYERANG Perak FC, Guilherme De Paula mengasak gawang pasukan tuan rumah di Stadium Darul Makmur. FOTO FB Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain Sri Pahang FC dituntut bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila berdepan Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, tiada lagi alasan untuk tidak melakar kemenangan pada perlawanan ketiga Liga Super itu.

"Walaupun beraksi di tempat lawan, Sri Pahang tidak boleh lagi mengalami kekalahan. Saya harap semua pemain dapat membentuk persefahaman yang lebih baik. Pemain perlu menggandakan usaha dan prestasi mereka untuk memadam kekecewaan tewas 1-3 kepada Selangor FC dan Perak FC (0-2).

"Bagi saya kesebelasan utama yang disenaraikan esok perlu memanfaatkan segala peluang yang ada untuk mencatat kemenangan pertama," katanya.

Pada dua perlawanan sebelum ini, Sri Pahang yang tampil dengan jurulatih import, Thomas Dooley gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan itu.

Pada masa sama, jentera serangan pasukan itu dilihat begitu tumpul hingga memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Justeru, Mohammed Suffian mahu semua pemain kekal fokus dan beraksi pada tahap terbaik untuk mengelak tewas buat kali ketiga.

"Dua penyerang import, Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique perlu tampil lebih garang di bahagian serangan manakala pemain di bahagian tengah dan pertahanan bijak mengawal permainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 5:25 PM