Aidil Sharin Sahak. FOTO File NSTP
Aidil Sharin Sahak. FOTO File NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menganggap saingan penuh cabaran bakal dilalui skuadnya pada Piala AFC musim 2021 apabila diundi berada dalam kumpulan H pada sesi undian kejohanan berkenaan yang diadakan hari ini.

KDA FC bakal bersaing dengan bekas pasukannya itu Lions City Sailors FC (dahulu dikenali sebagai Home United FC) serta dua lagi pasukan iaitu Saigon FC dari Vietnam dan satu pasukan yang akan ditentukan oleh perlawanan 'play-off' dari negara Indonesia, Timor Leste dan Kemboja.

"Pada saya ini satu kumpulan dengan saingan sangat sengit kerana kita berhadapan dengan kelab yang kuat dari Liga Vietnam, Singapura dan satu lagi bakal ditentukan nanti.

"Dua pasukan berkenaan juga adalah pasukan yang tidak boleh dianggap mudah kerana memiliki kekuatan tersendiri serta mampu memberi kejutan.

"Kami bagaimanapun tidak akan mengambil mudah dengan setiap pasukan yang akan dihadapi nanti dan pastinya semua pasukan memiliki visi masing-masing dan begitu juga kami yang mahu mencari peluang bagi memburu kejayaan seperti yang dirancang di pentas AFC kali ini". katanya.

Namun dalam masa yang sama, Aidil tetap teruja dan bersemangat apabila pasukan kendaliannya bakal berdepan bekas pasukannya, Lions City Sailors yang pernah dikendalikannya pada musim 2012 hingga 2018.

"Bertemu Lions City ini sudah pasti perasaan juga berbeza, kerana kita tahu Lions City yang dahulunya dikenali Home United adalah kelab yang pernah saya wakili dan sedikit sebanyak memberi reaksi gembira kerana dapat kembali berdepan bekas pasukan.

"Ia juga memberi semangat tambahan buat saya dan juga pemain baharu Kedah, M Anumanthan yang juga dari Singapura kerana kami turut mengenali 80 peratus pemain kelab itu dan mereka juga adalah bekas pemain saya.

"Tetapi tahun ini kita tahu pengurusan mereka (Lions City) sangat serius untuk memburu kejayaan pasukan dan dengan sumber kewangan yang kukuh, mereka telah memiliki pemain import yang bagus dari Brazil dan pernah beraksi pada tahap yang tinggi di Liga Portugal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:46 PM