FERNANDES menjadi watak penting Man United. FOTO EPA
FERNANDES menjadi watak penting Man United. FOTO EPA
AFP

London: Manchester United mungkin sudah melepaskan tangga teratas Liga Perdana sebaik tewas kepada pasukan tercorot, Sheffield United namun Red Devils tetap di landasan memburu kejuaraan liga dengan Bruno Fernandes menjadi watak penting kepada misi itu.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer akan berkunjung ke Arsenal awal pagi Ahad, setahun sejak pemain tengah Portugal itu menyertai United yang ketika itu ketinggalan 30 mata di belakang pendahulu liga.

Sepanjang 52 penampilan, pemain berusia 26 tahun itu sudah meledak 28 gol dan menjadi arkitek kepada 18 jaringan sekali gus menyamai legenda Eric Cantona yang menjadi watak mengubah nasib United.

Bagi pasukan yang benar-benar terdesak memerlukan seorang ketua, kehadiran bekas kapten Sporting Lisbon itu sememangnya amat tepat.

"Saya tidak melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana mahu dilihat sebagai seorang ketua. Ia adalah perkara semulajadi.

"Bagi saya perkara paling penting adalah untuk membantu setiap orang dengan suara dan tenaga saya. Setiap yang saya lakukan hanyalah untuk membantu pasukan," kata Fernandes.

Dia akan berasa kecewa jika tidak diturunkan atau digantikan oleh Solskjaer.

"Dia tidak pernah gembira apabila saya memberitahunya untuk tamatkan sesi latihan terutamanya apabila beraksi keesokannya.

"Fernandes akan kekal berlatih selama 45 minit lagi selepas selesai sesi latihan sebenar untuk berlatih melakukan sepakan percuma. Jadi saya yakin dia mampu melaksanakan tugas itu jika diberi peluang," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 10:16 AM