KLOPP teruja selepas pasukannya mencatat kemenangan di depan 2,000 penyokong. FOTO AFP
KLOPP teruja selepas pasukannya mencatat kemenangan di depan 2,000 penyokong. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berasa teruja dan bulu romanya meremang selepas penyokong kembali ke Anfield menyaksikan mereka mencatat kemenangan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menumpaskan Wolves 4-0.

The Reds tidak berpeluang beraksi di depan penyokong sejak mereka menamatkan kemarau 30 tahun untuk dinobatkan sebagai juara EPL pada Jun lalu.

Bagaimanapun, mereka berjaya mengubat kerinduan, mencatat kemenangan selesa selepas 2,000 penyokong dibenarkan hadir ke stadium dengan menyanyikan lagu keramat 'You'll Never Walk Alone.'

Wolves memberikan ancaman awal namun tidak menghalang Mohamed Salah untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada separuh masa pertama.

Gol pada separuh masa kedua melalui Georginio Wijnaldum, Joel Matip dan Nelson Semedo membolehkan Liverpool berkongsi 24 mata dengan pendahulu liga, Tottenham.

"Permainan, suasana, ia sangat menarik membuatkan bulu roma saya meremang. Mereka bermula dengan menyanyikan lagu 'You'll Never Walk Alone'. Saya tidak pernah menjangkakan dapat merasai sehebat ini.

"Ia bermula pada Februari dan kami ternanti-nanti untuk mendapatkan kehidupan normal kembali. Normal adalah lebih baik, saya tidak rasa kami kurang menghargainya, ia sangat menyentuh perasaan," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 8:40 AM