Penjaga gol Sierra Leone, Mohamed N. Kamara (kiri) gagal menyelamatkan gawang daripada dibolosi empat kali ketika berdepan Nigeria. FOTO Agensi
Penjaga gol Sierra Leone, Mohamed N. Kamara (kiri) gagal menyelamatkan gawang daripada dibolosi empat kali ketika berdepan Nigeria. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Sierra Leone mencetus satu daripada kebangkitan terhebat dalam aksi Piala Negara Afrika selepas seri 4-4 menentang Nigeria sementara Mesir berdepan ancaman besar apabila tonggak pasukan, Mohamed Salah diuji positif Covid-19.

Nigeria tampak mampu memungut tiga mata dalam kelayakan 2021 itu apabila mendahului empat gol selepas 31 minit di Benin City berdepan lawan yang berada 88 tempat di bawah mereka dalam ranking dunia.

Namun kebangkitan sensasi yang bermula sejurus sebelum tamat babak pertama hasil jaringan Kwame Quee mencapai kemuncak lima minit sebelum tamat apabila Al-Hadji Kamara menyamakan kedudukan.

Ia adalah antara kebangkitan hebat dalam Piala Negara Afrika sejak final 2010 apabila Mali terikat 4-4 berdepan tuan rumah Angola dalam perlawanan pembukaan selepas meledak empat gol 12 minit sebelum tamat aksi di Luanda.

Juara tujuh kali Afrika, Mesir hanya berada di kedudukan ketiga dalam satu lagi saingan susulan keputusan seri berdepan Kenya dan skuad Comoros, dan berharap bintang Liverpool, Salah dapat mengetuai mereka di laman sendiri dan mencipta kejayaan mengatasi Togo.

Sekalipun tidak beraksi buat skuad Pharaohs di Kaherah pada Sabtu dan di Lome pada Selasa, Salah menempuhi pengasingan di bilik hotel dekat Kaherah selepas diuji positif Covid-19 walaupun tidak menunjukkan apa-apa simptom.

Di Benin City, Nigeria melakukan permulaan baik dengan Alex Iwobi (meledak dua gol), Victor Osimhen dan Samuel Chukwueze meledak dalam tempoh 29 minit bagi saingan Kumpulan L.

Namun Sierra Leone, yang hanya menang dua kali dalam 14 perlawanan terakhir mereka menentang Nigeria, enggan menyerah kalah dan Kamara menjaringkan dua gol selain satu daripada Mustapha Bundu untuk keputusan seri dramatik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 8:06 AM