MANE tonggak Senegal. FOTO Agensi
MANE tonggak Senegal. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Sadio Mane meledak jaringan ketika membantu kemenangan Senegal dan rakan sepasukan di Liverpool, Naby Keita turut menyinar ketika Guinea mencatat keputusan seri dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Afrika, awal pagi tadi.

Mane menjaringkan gol menerusi rembatan jarak dekat minit ke-56 dan pertahanan Paris Saint-Germain, Abdou Diallo meledak gol kedua sembilan minit sebelum tamat bagi membolehkan Senegal menewaskan Togo 2-0 di Thies.

Keita membantu Francois Kamano menjaringkan gol pendahuluan Guinea di Nouakchott sebelum Joseph Mendes menyamakan kedudukan 1-1 buat Guinea-Bissau.

Tidak seperti Mane dan Keita yang negara mereka tidak berada dalam senarai merah oleh United Kingdom, bintang Liverpool, Mohamed Salah tidak dapat beraksi untuk Mesir menentang Angola di Kaherah.

Pemenang Pemain Terbaik Afrika dua kali itu berdepan kuarantin 10 hari jika pulang dari Mesir yang disenarai merah sekali gus bakal terlepas empat perlawanan.

Bagaimanapun, juara tujuh kali Afrika, Mesir menang 1-0 menerusi penalti minit kelima oleh Mohamed 'Afsha' Magdy dalam saingan Kumpulan F.

Pierre-Emerick Aubameyang gagal membantu pasukannya Gabon yang tewas 1-2 di Libya selepas Sanad al Ouarfali meledak gol kemenangan tuan rumah minit ke-89.

Kemenangan Libya melonjakkan mereka ke puncak Kumpulan F, mengatasi Mesir dengan perbezaan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:27 AM