Penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe (dua kiri) meraikan jaringan berdepan Algeria dalam aksi Piala Negara Afrika. FOTO AFP
Penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe (dua kiri) meraikan jaringan berdepan Algeria dalam aksi Piala Negara Afrika. FOTO AFP
AFP

Douala: Juara bertahan Algeria tersingkir dari Piala Negara Afrika selepas tewas 1-3 kepada Ivory Coast pada aksi terakhir peringkat kumpulan tatkala Tunisia, Equatorial Guinea dan Comoros mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Franck Kessie, Ibrahim Sangare pemain Arsenal, Nicolas Pepe meletakkan Ivory Coast 3-0 di depan, sebelum bintang Manchester City, Riyad Mahrez gagal menyempurnakan penalti untuk juara edisi 2019 itu.

Sofiane Bendebka meledak gol tunggal Algeria untuk juara bertahan itu tetapi ia agak lewat bagi mencetus kebangkitan skuad kendalian Djamel Belmadi.

Ia adalah kali kelima dalam enam edisi terakhir kejohanan berkenaan juara bertahan gagal layak ke pusingan kalah mati.

Algeria hadir di kejohanan itu dengan rekod baik bagaimanapun mereka memulakan perlawanan peringkat kumpulan dengan aksi menghampakan apabila seri berdepan Sierra Leone dan tewas kepada Equatorial Guinea yang juga kekalahan pertama dalam 36 perlawanan.

Mereka menamatkan saingan di kedudukan tercorot dengan hanya mengumpul satu mata.

"Satu kegagalan, itu kesimpulannya." kata Belmadi mengenai prestasi pasukannya pada kejohanan itu.

"Kami gagal memanfaatkan peluang kami, bermula dari awal kejohanan. Malah penalti pun sukar disempurnakan. Kami tidak cukup bagus."

Ivory Coast, juara edisi 2015, akan kekal di Douala untuk pertemuan dengan Mesir yang diperkuat Mohamed Salah pada Rabu ini.

"Saya amat berpuas hati dengan apa yang pasukan saya lakukan malam ini," kata pengendali Ivory Coast dari Perancis, Patrice Beaumelle yang dua kali memenangi kejohanan itu sebagai penolong jurulatih.

"Ia sentiasa sukar kerana ia trofi berprestij dan apabila kami memenanginya bersama Zambia pada tahun 2012, ia mencetus inspirasi kepada banyak pasukan."

Equatorial Guinea mara sebagai naib juara Kumpulan E selepas menewaskan Sierra Leone 1-0 di Limbe menerusi jaringan Pablo Ganet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:13 AM