WEI Feng tewas kepada Dionysius Hayom Rumbaka.
WEI Feng tewas kepada Dionysius Hayom Rumbaka.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hasrat skuad negara untuk terus cemerlang beraksi pada saingan awal Piala Axiata tidak kesampaian apabila tewas 0-4 di tangan Indonesia, semalam.

Bagi Chong Wei Feng yang mengalas tugas kapten pasukan, mengakui bertemu Indonesia bukan tugas mudah malah atas kertas juga sudah tertulis pasukan negara tidak sekuat Indonesia.

Wei Feng membuka saingan turun berdepan Dionysius Hayom Rumbaka tetapi tewas 19-21 11-21 dalam tempoh 38 minit. 

Hasrat negara mendapatkan satu mata daripada perseorangan wanita Tee Jing Yi juga tidak kesampaian apabila mudah ditundukkan Bellaetrix Manuputy 8-21 10-21 dalam perlawanan yang memakan masa 27 minit. 

Sasaran untuk melakarkan keputusan seri apabila turun bertemu Indonesia berkecai apabila beregu negara Tan Boon Heong serta Hoon Thien How turut kecundang di tangan pasangan Muhammad Ahsan-Markis Kido 17-21 13-21 sebelum beregu campuran Chan Peng Soon-Lai Pei Jing sekadar melengkapkan jadual tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, 13-21 16-21.

“Memang sudah diketahui bahawa kita bukan satu pasukan kuat seperti Indonesia. Biarpun saya menyasarkan keputusan seri tapi selepas tewas ia tampak lebih sukar. 

“Menentang pasukan Indonesia bukan tugas mudah tapi jangan bimbang kerana saya pasti skuad negara akan bangkit menebus kekalahan ini. 

“Apapun saya harap dapat mara sehingga ke separuh akhir terlebih dulu sebelum memikirkan aksi pusingan akhir. Kekalahan perlu segera dilupakan kerana saingan masih awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:09 AM