SZE Fei (dua kanan) bersama Nur Izzuddin (kanan) pada sidang media Kejohanan Badminton Master di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam. FOTO AMIRUDIN SAHIB
SZE Fei (dua kanan) bersama Nur Izzuddin (kanan) pada sidang media Kejohanan Badminton Master di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) dua minggu lalu menyuntik semangat pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei menjelang saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Sze Fei yang bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani berkata, status naib juara BAC itu meningkatkan keyakinan untuk menyumbangkan mata buat negara apabila berdepan Hong Kong pada 27 April ini.

Sze Fei-Izzuddin diletakkan harapan untuk mengutip mata berdepan Hong Kong dan mereka yang menghuni ranking ke-15 dunia itu kini dijangka akan turun sebagai gandingan kedua skuad negara.

"Saya teruja dan bermotivasi untuk turun bermain di Piala Thomas kali ini. Gelaran naib juara BAC menjadi pembakar semangat saya.

"Saya harap dapat membantu pasukan menyumbangkan mata dan saya perlu lebih bertanggungjawab bukan untuk diri sendiri tapi kepada pasukan," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui, dia kini berada dalam keadaan terbaik terutama dari segi komunikasi selepas lebih seminggu bersama-sama menjalani kem latihan di ABM.

Malaysia berdepan aksi 'hidup mati' apabila perlu mencatat kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi sulung Kumpulan D bagi mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati.

Malaysia seterusnya akan berdepan Algeria sehari selepas itu sebelum berdepan Denmark dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 12:32 PM