ZII Jia percaya BAM terbuka dan akan menyenaraikan pemain yang benar-benar layak untuk berada dalam pasukan. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia percaya BAM terbuka dan akan menyenaraikan pemain yang benar-benar layak untuk berada dalam pasukan. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuat keputusan paling terbaik termasuk menyenaraikan pemain profesional untuk saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Jelas pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu, sekiranya barisan pemain profesional sepertinya serta beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mampu memperkuatkan pasukan, maka perkara berkenaan seharusnya menjadi pertimbangan BAM.

"Saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan ini untuk beraksi di Piala Thomas nanti. Mengenai sama ada pemain profesional termasuk Ee Yi-Yew Sin perlu disenaraikan, biar BAM yang tentukan.

"Namun, kalau dengan kehadiran mereka boleh memperkuatkan pasukan, jadi kenapa tidak? Saya percaya BAM terbuka dalam hal ini dan akan menyenaraikan pemain yang benar-benar layak untuk berada dalam pasukan," katanya yang menjadi pemain profesional bulan lalu.

Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas selepas berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selaku juara Kumpulan B.

BAM sebelum ini meletakkan sasaran untuk skuad negara mara ke final Piala Thomas tahun ini.

Pemilihan Ee Yi-Yew Sin perlu diambil kira oleh BAM selepas mempamerkan prestasi cemerlang meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu namun gandingan itu tidak disenaraikan dalam saingan BATC kali ini selepas BAM memutuskan untuk memberi pendedahan kepada pemain muda.

Pada saingan Piala Thomas 2020 yang berlangsung di Aarhus, Denmark tahun lalu, Malaysia melangkah ke suku akhir sebelum tewas 0-3 kepada Indonesia.

Sementara itu, Zii Jia yang juga juara kejohanan Seluruh England 2021 mengakui memiliki masa secukupnya untuk melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Terbuka Jerman dan Seluruh England bulan depan.

"Selepas ini, saya ada masa lebih kurang dua minggu untuk buat persiapan sebelum menyertai kejohanan Terbuka Jerman dan Seluruh England. Saya fikir tempoh masa itu sudah mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:26 PM