ZII Jia alami kecederaan kaki ketika menentang Kidambi.
ZII Jia alami kecederaan kaki ketika menentang Kidambi.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Faktor kecederaan di kaki menyaksikan pengakhiran mengecewakan untuk pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Switzerland.

Ia selepas pemain berusia 25 tahun itu ditunjuk jalan keluar oleh lawannya yang juga bekas perseorangan utama India, Srikanth Kidambi 16-21, 15-21 dalam tempoh 36 minit pada aksi pusingan kedua di St Jakobshalle, Basel, awal pagi tadi.

Zii Jia mengalami kecederaan itu semasa meraih kemenangan 21-19, 21-12 ke atas pemain Taiwan, Su Li Yang pada pusingan pertama.

Keputusan itu pastinya mengecewakan Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan selepas tersingkir pada peringkat suku akhir Seluruh England minggu lalu.

"Ia hari yang sukar di Terbuka Switzerland. Kecederaan kaki dialami Lee Zii Jia semasa pusingan pertama menyekat pergerakannya pada perlawanan ini. Tahniah kepada Srikanth Kidambi dan semoga berjaya," kata pasukannya, TeamLZJ menerusi hantaran di media sosial.

Rekod perlawanan masih memihak kepada Zii Jia selepas memenangi empat daripada enam pertemuan dengan Srikanth yang muncul pemain pertama India melangkah ke pentas final Kejohanan Dunia 2021.

Turut gagal meneruskan kemaraan adalah beregu lelaki negara yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas tewas 17-21, 21-19, 21-15 di tangan pasangan dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren pada pusingan kedua.

Minggu lalu di Seluruh England, Sze Fei-Nur Izzuddin turut tersingkir awal apabila tumbang kepada beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan pertama.

Nasib sama turut menimpa satu lagi beregu negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang tewas 16-21, 21-13, 21-12 kepada pilihan ketiga dari Indonesia, Leo Carnando-Daniel Marthin.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula memberikan tentangan sengit namun terpaksa akur dengan kehebatan lawan mereka dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito apabila tewas 24-22, 11-21, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 9:17 AM