ZII Jia akan berdepan Jun Peng di pusingan ketiga. FOTO AP
ZII Jia akan berdepan Jun Peng di pusingan ketiga. FOTO AP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia tidak perlu terlalu mengerah tenaga untuk mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

Pada pusingan kedua hari ini, jaguh negara yang menduduki ranking kelima dunia itu nyata tidak berdepan masalah menewaskan lawannya dari Portugal, Bernardo Atilano 21-9, 21-13 dalam tempoh 36 minit.

Menanti Zii Jia di pusingan ketiga esok adalah pemain China, Zhao Jun Peng yang menewaskan Srikanth Kidambi dari India 21-9, 21-17 di pusingan kedua, hari ini.

Turut mara beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Pullela 21-8, 21-17.

Pilihan ke-10 kejohanan yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu mempamer aksi meyakinkan untuk menewaskan lawan mereka dalam tempoh 36 minit.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan pula menyingkirkan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 22-20, 21-18 dalam tempoh 42 minit pada pusingan kedua, hari ini.

Mereka akan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan ketiga, esok.

Terdahulu Sze Fei-Nur Izzuddin tidak berdepan masalah menewaskan wakil Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-13, 21-12 pada pusingan kedua, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:57 PM