BIN Shen berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung dengan sistem undian. FOTO ASWADI ALIAS
BIN Shen berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung dengan sistem undian. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Suka atau tidak itu hakikat yang perlu diterima oleh barisan pemain badminton berhubung sistem undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, tiada apa yang boleh dilakukan oleh pemain ataupun negara berhubung sistem undian berkenaan.

Bin Shen berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung dengan sistem undian di dua kejohanan utama iaitu Terbuka Perancis dan Seluruh England yang mana menyaksikan dua pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bertemu di pusingan awal.

Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik dijadualkan memulakan kempen mereka di Arena Birmingham menentang rakan sepasukan Sze Fei-Izzuddin.

Mereka berpotensi berdepan lawan yang sama dalam Terbuka Perancis minggu ini jika kedua-dua pasangan mara ke pusingan 16 terakhir.

Terbuka Perancis bermula 5 Mac ini dan seterusnya Seluruh England yang membuka tirai dari 12 hingga 17 Mac nanti.

"Kita tak boleh buat apa. Kena ikut saja. Tapi setakat ini memang tiada surat bantahan dibuat.

"Memang BWF sudah maklumkan bahawa tiada pengasingan negara dari pusingan pertama.

"Saya pernah tanya tapi tak boleh nak buat apa sebab mereka pakai komputer dan ikut nasib," katanya.

BAM dalam bahagian 6.4.4. peraturan Jelajah Dunia BWF menyatakan bahawa tiada pemisahan kewarganegaraan terpakai untuk semua acara Jelajah Dunia di semua peringkat.

Proses undian dilakukan secara rawak sepenuhnya dalam parameter peraturan peringkat kejohanan masing-masing dan setiap cabutan diluluskan oleh pengadil kejohanan.

Aaron bukanlah pemain Malaysia pertama yang menyuarakan kebimbangan mengenai isu itu.

Pada Januari 2020, pemenang pingat perak Olimpik Rio, Goh V Shem turut berkongsi rasa tidak senangnya selepas diundi untuk berdepan Aaron-Wooi Yik dalam halangan pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 6:21 PM