ZII Jia dijangka berlatih dengan Kunlavut di Thailand.
ZII Jia dijangka berlatih dengan Kunlavut di Thailand.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Dapat berlatih bersama pasukan badminton Korea Selatan seakan membuka satu lembaran baharu buat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dan selepas ini berkemungkinan mengulangi rutin sama di Thailand.

Menurut jurulatihnya, Wong Tat Meng, program berlatih bersama pemain dari negara lain bermungkinan akan diteruskan.

"Program latihan di luar negara akan diteruskan bagi mempersiapkan Zii Jia menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan," katanya.

Ujar Tat Meng, selepas berlatih di Korea Selatan Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) akan memilih negara lain pula selepas ini.

"Saya mahu bagi Zii Jia belajar berlatih dalam suasana berbeza. Sebelum ini, Loh Kean Yew (perseorangan Singapura) ada pergi ke Thailand dan berlatih bersama perseorangan negara itu Kunlavut Vitidsarn (juara dunia).

"Jadi, kami pun mungkin boleh ke sana untuk Zii Jia berlatih dengan Kunlavut kerana saya juga mengenali jurulatih di Thailand," kata Tat Meng.

Sebelum ini, Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England menghabiskan masa selama 11 hari dari 31 Januari hingga 9 Februari menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Korea di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.

Ditanya mengenai latihan di Korea Selatan, Tat Meng, berkata beliau gembira kerana Zii Jia terbuka untuk menerima perubahan dalam program latihan cuba dibawanya.

"Korea Selatan ada lapan pemain perseorangan, ketika kami di sana hanya Jeon Hyeok Jin saja tidak ada kerana menyertai kejohanan di Thailand dan Azerbaijan.

"Sepanjang di Korea Selatan, Zii Jia mendapat peluang berlatih dengan pemain memiliki kemahiran berbeza termasuklah pemain kidal. Ini sesuatu yang bagus untuk Zii Jia, tidaklah dia hanya berlatih dengan pemain saya sama saja seperti di Malaysia.

"Saya lihat Zii Jia terbuka untuk menerima perubahan dan ini memudahkan saya untuk menyusun program latihan seterusnya untuk dia," kata Tat Meng.

Zii Jia ketika ini bersama skuad kebangsaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 3:44 PM