ZII JIA sudah bersedia menghadapi BATC. -FOTO NSTP
ZII JIA sudah bersedia menghadapi BATC. -FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia nyata berusaha keras untuk mempertingkatkan prestasinya.

Pemain itu tampaknya tidak berdiam diri dalam usaha untuk menjadi yang terbaik buat negara dalam persiapan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Selasa ini.

Terbaharu, dia berkongsi pengalaman menimba pengalaman di Korea Selatan selama 11 hari yang tamat semalam.

Malah dia turut melupakan perayaan Tahun Baharu Cina demi melakukan persediaan terbaik untuk menempuh cabaran lebih mencabar selepas ini.

Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ), hari ini, berkongsi rakaman regim latihan pemain ranking ke-10 dunia di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.

Bekas juara Seluruh England itu dilihat berlatih bersama pemain kebangsaan Korea.

"Ia adalah satu pengalaman cukup menakjubkan, Terima kasih kepada BKA.

"Inilah pandangan di sebalik tabir di dalam pusat latihan BKA di Jincheon, Seoul yang dirakam jurulatih kecergasan Team LZJ, Lim Joe Heang.

"Sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya," tulis keterangan pada video yang dimuat naik itu.

Peluang berlatih di pusat latihan BKA dikhabarkan diatur jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng yang pernah berkhidmat selama empat tahun bersama badan induk badminton Korea itu sebelum menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada 2022.

Skuad negara yang tampil sebagai juara bertahan diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik kejohanan kali ini layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas-Uber di Chengdu, China, April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 3:25 PM