TAT Meng sebelum ini melatih pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan, dan baru-baru ini Hong Kong. FOTO Ihsan Team LZJ
TAT Meng sebelum ini melatih pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan, dan baru-baru ini Hong Kong. FOTO Ihsan Team LZJ
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih badminton negara, Wong Tat Meng dilantik menjadi pengarah kejurulatihan buat pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia.

Perkembangan itu diumumkan sendiri, Team LZJ di laman Twitter yang mana sebelum ini, pemain itu bergerak tanpa jurulatih susulan penamatan kontrak Indra Wijaya pada November tahun lalu.

"Dengan sukacitanya kami mengumumkan pelantikan Wong Tat Meng sebagai Pengarah kejurulatihan baru buat pasukan LZJ.

"Tat Meng mempunyai banyak pengalaman yang luas daripada tugasnya sebelum ini melatih pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan, dan baru-baru ini Hong Kong.

"Beliau akan mula bekerja dengan Lee Zii Jia sebaik sahaja proses pemindahannya dari Hong Kong ke Malaysia diselesaikan.

"Tugas terdekat untuk Jurulatih Tat Meng adalah untuk merangka program yang akan membantu Zii Jia mencapai prestasi yang konsisten, memperbaiki ranking dunia dan layak untuk Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Untuk rekod, Tat Meng bukanlah individu yang calang-calang dalam arena badminton dunia apabila pernah melatih beberapa nama besar antaranya pemain perseorangan wanita Korea Selatan, An Se-young.

Selain itu beliau juga pernah melatih pemain Hong Kong, Ng Ka Long, Lee Cheuk Yiu, Vincent Wong dan perseorangan wanita Scotland, Kirsty Gilmour.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:39 PM