DATUK Lee Chong Wei. FOTO FATHIL ASRI
DATUK Lee Chong Wei. FOTO FATHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas semua pihak tertanya-tanya dan gusar dengan tindakan Lee Zii Jia, pengumuman yang dilakukan oleh pasukan pemain profesional itu ternyata melegakan arena badminton negara.

Tampil berpuas hati dengan tindakan pasukan Zii Jia menggunakan khidmat Wong Tat Meng ialah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong yang mengakui langkah berkenaan hadir tepat pada masanya.

Menurut Chong Wei, Tat Meng mampu melonjakkan prestasi pemain nombor lapan dunia itu bagi mengharungi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ini adalah satu petanda yang positif untuk Zii Jia. Kalau kita tengok seluruh dunia, semua pemain utama dunia ada jurulatih sendiri. Ini adalah tempoh yang penting dengan kelayakan Olimpik sudah bermula," katanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, apa yang paling penting sekarang adalah komunikasi antara kedua-dua individu berkenaan bagi memastikan segala perancangan yang diatur mampu menghasilkan impak positif.

"Sekarang Zii Jia sudah ada jurulatih. Saya harap mereka boleh membentuk kerjasama yang baik, komunikasi antara pemain dengan jurulatih itu yang paling penting.

"Saya harap kerjasama Zii Jia dan Tat Meng mampu menghasilkan keputusan yang baik buat negara. Saya percaya seluruh peminat juga gembira dengan keputusan Zii Jia mendapatkan khidmat jurulatih," kata Chong Wei.

Semalam, pasukan Zii Jia mengumumkan pelantikan Tat Meng selaku jurulatihnya dan akan memulakan tugas sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong selesai.

Zii Jia sejak lima bulan lalu bergerak tanpa khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Tat Meng yang ketika ini menjadi jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong mempunyai pengalaman luas yang mana sebelum ini dia pernah membimbing skuad Korea Selatan selama empat tahun.

Sepanjang bersama Korea Selatan, dia berjaya melonjakkan prestasi pemain perseorangan wanita negara itu, An Se-young yang kini bergelar pemain nombor dua dunia selain membantu pasukan negara berkenaan meraih gelaran Piala Uber tahun lalu.

Sebelum itu, Tat Meng juga pernah membimbing skuad badminton Indonesia pada 2012 dan Scotland dari 2016 hingga 2018.

"Kalau kita tengok pengalaman dimiliki Tat Meng, saya percaya dia boleh bantu Zii Jia. Namun, seperti yang saya katakan, apa yang paling penting adalah komunikasi, jika tidak memang sukar," kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 3:53 PM