AARON-WOOI YIK tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae. -FOTO Aswadi Alias
AARON-WOOI YIK tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen menilai prestasi pemainnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, masih di tahap sederhana selepas kekalahan mereka di suku akhir semalam di Axiata Arena.

Mereka yang menghuni ranking keempat dunia tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi perlawanan tiga set 21-16, 18-21, 13-21 sekali gus menghampakan ribuan penyokong yang hadir semalam.

Menurut Bin Shen, terdapat kesilapan kecil yang perlu ditangani beregu negara itu dan dia berharap pasangan berkenaan dapat memperbaiki prestasi mereka pada masa akan datang.

"Bagi saya mereka boleh bermain dengan lebih baik. Kekalahan pada perlawanan tadi (semalam) semasa detik penting 11-10. Saya selalu terangkan sebelum ini bahawa jika kita sudah melakukan kesilapan mudah dan ia akan meningkatkan keyakinan lawan kita.

"Dalam perlawanan selalu jadi. Oleh itu, perkara utama adalah kita perlu memperbaiki dan tangani masalah ini. Apapun, ini perlawanan pertama mereka tahun ini dan masih 'par' kerana bagi saya strategi permainan mereka masih lakukan sedikit kesilapan. Saya nilai prestasi mereka setakat ini 7 atau 8 daripada 10," katanya.

Tambah Bin Shen, paling penting adalah cara mereka merencana strategi dan cara Aaron-Wooi Yik bermain berada pada tahap sebenar dan bukan secara tiba-tiba ketinggalan.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik mencatat kekalahan kedua kepada Min Hyuk-Seung Jae dalam tiga pertemuan dengan aksi terdahulu di Terbuka China September lalu memihak kepada pasangan nombor satu negara itu.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik dijangka akan menyertai Terbuka India bermula 16-21 Januari ini nanti dan bakal berdepan Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 2:01 PM