AARON (kiri), Wooi Yik berjanji dalam mana-mana kejohanan sertai akan beri yang terbaik. FOTO AFP
AARON (kiri), Wooi Yik berjanji dalam mana-mana kejohanan sertai akan beri yang terbaik. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kegagalan mempertahankan gelaran juara dunia di Kejohanan Dunia dekat Copenhagen, Denmark minggu lalu hanya menguatkan lagi semangat beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memenangi gelaran sulung dalam siri Jelajah Dunia.

Sepanjang karier mereka, Aaron-Wooi Yik masih belum dapat mengecap nikmat selaku juara di jelajah berkenaan dan pemburuan itu akan diteruskan pada Terbuka China, Selasa ini.

Kejayaan menewaskan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di suku akhir dekat Copenhagen selepas tewas tiga kali berturut-turut sebelum itu, menambahkan lagi keyakinan pasangan negara bahawa tiada perkara yang mustahil di bumi Tembok Besar China.

"Sudah tentu kemenangan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami, ia membuatkan kami lebih percaya terhadap kemampuan kami sendiri. Saya harap kami boleh kekalkan momentum ini.

"Apa yang berlaku di Kejohanan Dunia, kami anggap ia sebagai satu proses yang perlu kami lalui. Namun, kami berjanji dalam mana-mana kejohanan kami sertai, kami akan beri yang terbaik.

"Walaupun kami mahu meraih gelaran pertama (dalam Jelajah Dunia) tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya. Kami harap boleh pergi separuh akhir dan final terlebih dahulu, tidak mahu fikir juara dulu," kata Wooi Yik.

Pada saingan di Copenhagen, Aaron-Wooi Yik tewas kepada beregu keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21.

Sementara itu, Aaron berkata, sukar untuk menilai tahap lawan mereka kerana kesemua beregu mempunyai kekuatan yang seimbang ketika pasangan nombor enam dunia itu akan bertemu gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Won Ho pada aksi pusingan pertama di Terbuka China.

"Undian untuk mana-mana kejohanan sama saja. Memang tidak senang, semua beregu sekarang ada kekuatan seimbang. Jadi, kami perlu buat persiapan terbaik," kata Aaron.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:47 PM