TZE Yong mara ke suku akhir buat kali kelima pada tahun ini selepas menewaskan Jonatan di pusingan kedua Terbuka Australia, hari ini. FOTO BAM
TZE Yong mara ke suku akhir buat kali kelima pada tahun ini selepas menewaskan Jonatan di pusingan kedua Terbuka Australia, hari ini. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemain di ranking kelima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie di pusingan kedua Terbuka Australia, sebentar tadi.

Tze Yong mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan Jonatan dengan keputusan 22-20, 21-15, sekali gus mara ke suku akhir.

Kemenangan itu menyaksikan pemain ranking ke-21 dunia itu mengakhiri badi kekalahan di tangan Jonatan selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.

Menanti Tze Yong di suku akhir adalah pemenang perlawanan antara pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dengan wakil India, Mithun Manjunath.

Sebagai rekod, ini adalah kali kelima pemain berasal dari Johor itu melangkah ke suku akhir musim ini selepas Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand dan Terbuka Korea.

Sementara itu, keputusan berbeza dialami beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin selepas terkandas di pusingan kedua di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-18, 17-21, 19-21.

Turut bernasib malang di pusingan kedua adalah dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang ditunjukkan jalan keluar.

Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 16-21, 21-17, 19-21 manakala Soon Huat-Shevon tunduk kepada Hiroki Midori-Natsu Saito 17-21, 21-18, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:40 PM