Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tuah cahaya mata lelaki pertama Teo Ee Yi membawa pasangan beregu profesional negara melakarkan kejutan pada pusingan kedua Terbuka Malaysia apabila menundukkan juara Olimpik Tokyo dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin dalam pertarungan straight set.

Ee Yi yang berpasangan dengan Ong Yew Sin itu hanya memerlukan 41 minit untuk menjinakkan Lee Yang-Chi Lin yang juga pilihan keempat kejohanan 21-17, 21-18 seterusnya menempah tiket ke suku akhir.

Ditanya apakah kunci kejayaan mereka hari ini, Ee Yi berkata, mereka tidak meletakkan sebarang sasaran dan hanya turun memberikan yang terbaik.

"Bagi kami mudah saja, masuk ke gelanggang kami hanya fokus untuk main dengan baik. Menang kalah kami tak fikir.

"Kami juga tak letakkan harapan. Sebab apabila turun ke gelanggang, semua baru. Antara kami dan lawan sama saja. Mungkin kehadiran penonton hari ini memberi sedikit kelebihan kepada kami.

"Tapi kemenangan hari ini memberi kami lebih semangat untuk berdepan lawan seterusnya ," kata Ee Yi.

Kemenangan Ee Yi-Yew Sin itu merapatkan rekod pertemuan kepada dua kemenangan dari lima pertemuan menentang beregu Taiwan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu.

Menanti Ee Yi-Yew Sin di suku akhir adalah pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel, 19-21, 21-10, 21-15.

Turut mara ke suku akhir adalah satu lagi beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang meraih kemenangan percuma kerana lawan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Cirag Shetty menarik diri selepas Satwiksairaj mengalami kecederaan otot kanan.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah mengakui kurang kesabaran menjadi punca mereka tewas kepada beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-19, 21-14 dalam tempoh 48 minit.

Perlawanan yang sepatutnya memihak kepada pasangan negara itu tidak menjadi kenyataan apabila lawan dilihat lebih agresif bertindak menyerang dengan Pearly-Thinaah lebih banyak bertahan terutama di set kedua.

"Memang kami kecewa. Saya mohon maaf kepada penyokong kerana tak dapat memberi aksi terbaik hari ini.

"Bila kami mendahului kami kurang sabar. Banyak buat kesilapan mudah dan ikut permainan mereka (lawan) itu antara punca kekalahan hari ini.

"Tapi kami akan belajar dari kesilapan biarpun perlawanan hari ini nampak lebih baik daripada dua perlawanan terdahulu (Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia)," kata Thinaah.

Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking ke-10 dunia selepas ini akan beraksi di Masters Malaysia sebelum terus beraksi di temasya Komanwel yang mana mereka menjadi sasaran untuk meraih emas di temasya berkenaan.

Turut tewas di pusingan kedua adalah beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Cjhen Tang Jie-Valeree Siow.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 5:06 PM
AKSI Yew Sin (kiri) dan Ee Yi pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil . FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Yew Sin (kiri) dan Ee Yi pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil . FOTO Asyraf Hamzah