YEW Sin (kanan) dan Ee Yi menewaskan beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
YEW Sin (kanan) dan Ee Yi menewaskan beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
leh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kembali menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand apabila melakar kemenangan, hari ini.

Gandingan negara itu menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-17, 23-21 dalam tempoh 40 minit pada perlawanan kedua Kumpulan A di Arena Nimibutr.

Bagaimanapun, mereka mencetuskan resah di set kedua apabila membenarkan lawan bangkit sebelum akhirnya kembali menemui rentak sebenar, sekali gus melakar kemenangan mutlak.

"Sangat gembira dapat meraih kemenangan hari ini. Pada set kedua, kami mendahului, tetapi kembali membenarkan lawan untuk mengikut rentak permainan mereka.

"Apabila kedudukan terikat 20-20, kami pula mengubah rentak permainan dan akhirnya mencatat kemenangan," kata Ee Yi.

Kemenangan itu menebus kekecewaan mereka yang tewas pada aksi pertama di tangan beregu nombor satu dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 19-21, 16-21, semalam.

Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi wajib menang pada aksi terakhir kumpulan menentang beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, esok untuk memburu tiket ke separuh akhir.

"Semalam kami terlalu mahukan kemenangan dan ia memberi tekanan kepada kami.

"Jadi, hari ini kami cuba untuk tidak terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri dan menikmati perlawanan, kami gembira berjaya memenangi perlawanan," kata Ee Yi.

Sementara itu, peluang tertutup rapat untuk beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke separuh akhir selepas juara Terbuka Perancis itu tewas perlawanan kedua Kumpulan B di tangan juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 13-21, 15-21.

Pada perlawanan selama 42 minit itu, Pearly-Thinaah dilihat tidak mampu menandingi kemampuan lawan mereka itu sekali gus mengalami kekalahan kali ketiga sepanjang tiga pertemuan dengan pasangan China itu.

Pada aksi pertama semalam, Pearly Tan-M Thinaah tewas 21-23, 19-21 di tangan pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 7:18 PM