Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melepasi halangan pertama untuk mara ke pusingan kedua All England 2024 di Birmingham, malam tadi.
Pada kejohanan Super 1000 yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Pearly-Thinaah memenuhi jangkaan selepas menewaskan gandingan profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sen, 21-10, 21-10.
Tugas besar menanti pasangan bukan pilihan, Pearly-Thinaah sekiranya pilihan utama dari China, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan menewaskan beregu Taiwan, Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching dalam satu lagi perlawanan pusingan pembukaan yang diadakan lewat hari ini.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon mencatat kemenangan straight set menentang Ko-Chi Chang-Chih Chen Lee dari Taiwan 21-17, 26-24 untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Soon Huat-Shevon bakal bertemu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China atau pasangan Australia Kenneth Choo-Gronya Somerville, dengan perlawanan mereka diadakan lewat hari ini.