NORZA ketika mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
NORZA ketika mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Tugas berat menanti barisan kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mereka perlu mencari pemain berstatus kedua dan ketiga dalam acara perseorangan lelaki dan wanita hanya dalam tempoh enam bulan.

Hal ini kerana badan induk sukan badminton negara itu ketika ini hanya memiliki Ng Tze Yong selaku pemain terbaik bagi acara perseorangan lelaki sementara S Kisona mendahului senarai dalam acara perseorangan wanita. Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, ia masih belum mencukupi dan menggesa barisan kejurulatihan menghasilkan pemain di posisi kedua dan ketiga dalam kedua-dua acara itu.

"Pasukan perseorangan lelaki BAM sekarang ada Tze Yong sebagai pemain nombor satu, jadi saya harap Wong Choong Hann dan Hendrawan dapat hasilkan pemain kedua serta ketiga. Mereka akan diberikan tempoh enam bulan untuk laksanakannya.

"Semua orang kata kita ada Lee Zii Jia, Tze Yong, Liew Daren dan Cheam June Wei, tetapi dari perspektif BAM, kita mahu Choong Hann hasilkan pemain nombor dua dan nombor ketiga untuk berada di kelompok teratas," katanya selepas mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Selain itu, Norza berkata, BAM turut berharap untuk melihat perkara sama turut diterapkan dalam skuad perseorangan wanita memandangkan hanya Kisona boleh dikatakan mampu bersaing dengan pemain kelompok teratas.

"Perseorangan wanita juga berdepan tugas sama untuk menaikkan kedudukan masing-masing dan ia terpulang kepada barisan kejurulatihan. Dr Tim Jones akan buat penilaian berhubung perkara ini berdasarkan sistem yang sudah dikemukakan," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini pemain nombor satu BAM adalah Tze Yong manakala tiada lagi individu berkelayakan dapat mengikut jejak langkah pemenang Terbuka Scotland musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 5:17 PM