TZE Yong mempamerkan peningkatan prestasi. FOTO Badminton Photo
TZE Yong mempamerkan peningkatan prestasi. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketiadaan Lee Zii Jia yang ingin meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi peluang buat Ng Tze Yong menggalas tugas selaku pemain perseorangan pertama negara.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann mengakui bahawa hanya Tze Yong yang paling hampir dengan pencapaian Zii Jia.

Namun jika diimbas kembali, situasi Tze Yong ketika ini adalah episod sama yang dilalui Zii Jia tiga tahun lalu dengan Choong Hann berharap keputusan positif itu dapat diulang semula kali ini.

"Jika diimbas kembali Tze Yong kini di ranking ke-47 dunia. Tiga tahun lepas Zii Jia juga di ranking 40 lebih dan dengan satu gelaran juara di Taiwan.

"Nampaknya lebih kurang sama dengan situasi Tze Yong sekarang dari segi ranking dan tahap peningkatannya.

"Tahun 2019 Zii Jia dari ranking 40 lebih dia naik sampai ranking ke-13 dunia dalam tempoh 12 bulan selepas dia mara ke separuh akhir Seluruh England.

"Tze Yong pula sasar ranking ke-25 tahun ini tapi saya rasa dia boleh sampai ke kelompok 20 terbaik hujung tahun ini. Jadi saya harap kita dapat ulang proses positif itu dengan pemain lelaki yang lain," katanya.

Jelas Choong Hann, peluang Tze Yong memperbaiki ranking terbuka luas tahun ini dengan banyak kejohanan yang boleh disertai pemain muda berusia 21 tahun dari Johor itu dengan sasaran utamanya adalah penampilan pertama di Seluruh England Mac ini.

Malah Choong Hann berkata, nama Tze Yong akan lebih banyak disenarai ke kejohanan bertaraf 500 dan 300 untuk memberi peluang kepadanya memperbaiki ranking.

"Kita akan cuba senaraikan dia untuk sertai kejohanan paling tinggi. Sebab kita tak pasti kejohanan mana yang boleh dia sertai.

"Tapi jika dia tak layak, kita sudah ada perancangan kedua dan saya yakin dia ada peluang untuk ke Seluruh England," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:05 PM