ANNA Cheong dan Teoh Mei Xing berjaya mengalahkan beregu dari Thailand di pusingan pertama. FOTO Fathil Asri
ANNA Cheong dan Teoh Mei Xing berjaya mengalahkan beregu dari Thailand di pusingan pertama. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing berjaya melakar kejutan dengan mengetepikan lawan yang mempunyai ranking lebih baik daripada mereka, iaitu gandingan adik beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard di pusingan pertama Masters Malaysia di Arena Axiata hari ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri Anna-Mei Xing yang menduduki ranking ke-37 dunia berjaya menundukkan lawan mereka 21-19, 21-17 dalam tempoh 38 minit.

Selepas mengalahkan pasangan ke-30 dunia itu, menanti mereka di pusingan kedua nanti ialah gandingan Jepun yang juga pilihan kelima, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara ataupun Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad (Thailand).

Sekiranya sekali lagi bertemu Matsumoto-Nagahara yang berada diranking keenam dunia itu, ia bakal menjadi perlawanan ulangan selepas Anna-Mei Xing tewas di tangan gandingan Jepun itu di suku akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu.

"Saya rasa kami tidak memikirkan soal ranking atau apapun. Kami hanya mempersiapkan permainan kami sebab kesemua lawan di kejohanan ini sengit. Disebabkan itu, kami tidak mahu terlalu memikirkan mengenai (pasangan) yang lain," kata Mei Xing.

Turut mengiringi mereka ke pusingan kedua ialah pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang mengetepikan pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-14, 21-14.

Nasib berbeza menimpa Low Yee Yuan-Valeree Siow dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas kedua-duanya gagal mara ke pusingan kedua apabila tumpas kepada lawan masing-masing.

Yee Yuan-Valeree terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia, Febby Valencia Dwijayanti Gani-Ribka Sugiarto apabila mereka tumpas 12-21, 17-21.

Vivian-Chiew Sien pula terpaksa menerima hakikat apabila kalah straight set ketika berdepan pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 21-23.

Sementara itu, hasrat Yap Rui Chen-Yap Yee untuk mara ke undian utama tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada gandingan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul 16-21, 8-21 dalam aksi kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 9:24 PM