ANNA Cheong (kanan) dan Teoh Mei Xing mahu layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO Asyraf Hamzah
ANNA Cheong (kanan) dan Teoh Mei Xing mahu layak ke Olimpik Paris 2024. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status sebagai beregu badminton wanita negara yang masih mentah di persada antarabangsa tidak menghalang Anna Cheong-Teoh Mei Xing menyahut cabaran melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Walaupun melihat laluan menempatkan diri ke Olimpik Paris agak mencabar namun pasangan yang berada di ranking ke-30 dunia itu akan berusaha keras merealisasikan matlamat terbabit sekali gus bakal mengikut jejak langkah gandingan utama negara Pearly Tan-M Thinaah beraksi di temasya itu .

Mei Xing berkata, ketika ini dia bersama Anna berusaha keras memperbaiki setiap kelemahan supaya tampil lebih menyakinkan kelak.

Katanya, beraksi di kejohanan berprestij seperti Olimpik adalah impiannya sejak berkecimpung dalam dunia badminton sekali gus perlu menuntutnya mencipta keputusan positif pada setiap penyertaan di kejohanan antarabangsa.

"Kami sememangnya meletakkan sasaran untuk layak beraksi di Olimpik Paris. Ketika ini berusaha keras memperbaiki kelemahan individu.

"Cuma, Anna ketika ini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan dan memerlukan masa untuk kembali pulih untuk mendapatkan momentum," katanya.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran untuk dua beregu wanita negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, berkata selain gandingan utama, Pearly-hinaah yang ketika ini menghuni ranking ke-11 dunia, beliau juga sedang mempersiapkan Anna-Mei Xing untuk memburu tiket ke Paris.

Katanya, Anna-Mei Xing mempunyai potensi untuk mengiringi Pearly-Thinaah ke temasya terbesar dunia itu biarpun mengakui jurang masih antara kedua-dua pasangan berkenaan.

Mengikut rekod, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Mei lalu mengumumkan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 dikenali sebagai 'Race to Paris' ditetapkan bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 12:28 PM