DAREN ketika menentang Jun Peng pada pusingan kelayakan Masters Malaysia. — FOTO Eizairi Shamsudin
DAREN ketika menentang Jun Peng pada pusingan kelayakan Masters Malaysia. — FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN veteran negara, Liew Daren mara ke undian utama kejohanan badminton Masters Malaysia selepas mencatat dua kemenangan di Arena Axiata hari ini walaupun dia beraksi dengan kecederaan di bahagian belakang.

Juara Terbuka Perancis 2012 itu memenangi perlawanan pertama dengan menumbangkan Subankhar Dey dari India 21-15, 21-15 sebelum menewaskan pemain China, Zhao Jun Peng 21-15, 21-15 untuk memastikan tempatnya.

Daren berdepan laluan getir apabila diundi menentang pilihan keenam dari Indonesia, Jonatan Christie pada pusingan pertama esok.

Seorang lagi pemain negara dalam acara perseorangan lelaki, Soong Joo Ven gagal ke undian utama apabila dia kalah 16-21, 21-16, 11-21 di tangan Koki Watanabe dari Jepun.

JOO Ven kalah kepada Watanabe di Arena Axiata. — FOTO Eizairi Shamsudin
JOO Ven kalah kepada Watanabe di Arena Axiata. — FOTO Eizairi Shamsudin

Pada perlawanan pertama dia tidak berdepan masalah mengalahkan pemain berpengalaman Hong Kong, Vincent Wong 21-8, 17-21, 21-15.

Sementara itu, beregu wanita, Anna Cheong-Lim Chiew Sien mara ke undian utama selepas menumpaskan rakan senegara, Cheah Yee See-Lim Peiy Yee 21-11, 21-18 pada pusingan kelayakan.

Dua lagi wakil negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling dan Pearly Tan-M Thinaah memperoleh tiket percuma ke undian utama selepas lawan masing-masing menarik diri.

Chiew Sien juga cemerlang ketika bergandingan bersama Low Hang Yee dalam kelayakan beregu campuran selepas mara ke undian utama apabila menang 21-17, 21-16 ke atas beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 5:28 PM