JURULATIH perseorangan, Datuk Misbun Sidek pada Sesi latihan akhir pasukan badminton untuk persiapan ke Sukan Asia di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Saifullizan Tamadi
JURULATIH perseorangan, Datuk Misbun Sidek pada Sesi latihan akhir pasukan badminton untuk persiapan ke Sukan Asia di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Saifullizan Tamadi
Helmi Talkah


SELEPAS kehilangan khidmat Datuk Lee Chong Wei pada saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang, skuad badminton lelaki negara ketika ini dalam situasi yang mengharapkan tuah undian memihak kepada mereka selepas hadir di Jakarta tanpa status sebagai pasukan pilihan.

Menjelang majlis undian yang akan diadakan esok di Jakarta, Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik apabila sekadar tampil sebagai pilihan kelima dengan format pertandingan dijalankan secara kalah mati.

Naib juara edisi 2014, China diletakkan sebagai pilihan pertama diikuti tuan rumah, Indonesia (kedua), Jepun (ketiga) dan Taiwan (keempat).

Pada undian itu juga, pilihan pertama dan kedua akan diletakkan di kedudukan 1 dan 16 manakala pilihan ketiga dan keempat diletakkan di kedudukan 5 dan 12.

Situasi itu menyaksikan Malaysia boleh diundi untuk bertemu salah satu daripada empat pasukan pilihan berkenaan atau 11 pasukan lain yang turut mengambil bahagian untuk aksi pusingan pertama.

Mengikut format pertandingan, pasukan yang memenangi perlawanan di pusingan pertama akan layak terus ke suku akhir diikuti separuh akhir dan final.

Skuad negara terpaksa melupakan khidmat Chong Wei selepas jaguh perseorangan itu menarik diri akibat masalah kesihatan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan Liew Daren bagi menggantikan tempatnya.

Selain Daren, tiga lagi pemain perseorangan yang disenaraikan ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven. 

Acara beregu pula menyaksikan sandaran diletakkan di atas bahu Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 5:04 PM