FLANDY (tengah) tidak lagi bersama skuad badminton negara.
FLANDY (tengah) tidak lagi bersama skuad badminton negara.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan sudah mengenal pasti dua calon jurulatih dari luar negara bagi mengisi kekosongan ditinggalkan jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele dan jurulatih beregu campuran, Paulus Firman.

Menurut Rexy, beliau kini hanya menunggu lampu hijau daripada BAM sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan dikemukakannya.

"Buat masa ini, perkembangan sangat positif tetapi masih ada perkara perlu dibincangkan lagi. Setakat ini kita sedang menilai jurulatih dari luar negara tetapi saya ada juga beritahu Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung BAM) mengenai jurulatih tempatan, namun segala keputusan terpulang kepada mereka," kata Rexy ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Rexy berkata, beliau memberi cadangan kepada pengurusan untuk mendapatkan dua jurulatih tetapi semuanya bergantung kepada pihak pengurusan.

"Sekiranya berjalan dengan baik, calon itu akan sampai dalam masa terdekat. Kita tidak mahu terburu-buru kerana bukan senang untuk dapatkan jurulatih berkualiti. Kita bukannya mahu sekadar ambil jurulatih kerana hasilnya mungkin tidak seperti diharapkan.

"Saya tahu perkara ini sudah lama tertangguh tetapi buat masa ini kita masih boleh kendalikan latihan seperti biasa dan memang dalam usaha untuk cari pengganti," katanya.

Mac lalu Flandy membuat keputusan meletak jawatan selepas menerima tawaran membimbing skuad badminton Indonesia manakala Paulus pula memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya dengan BAM biarpun ditawarkan oleh badan induk berkenaan, hujung April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 4:17 PM