Legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky
Legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) begitu serius untuk meraih sesuatu yang bernilai di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila melantik dan membawa pulang semula legenda Indonesia, Rexy Mainaky bagi memperkuatkan skuad badminton negara.

Perkara itu dipersetujui oleh bekas pemain beregu lelaki negara, Zakry Latif yang mengakui bahawa pelantikan Rexy sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM membuktikan bahawa BAM mahukan sesuatu lebih cemerlang di Paris selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya rasa satu perkembangan yang baik dan BAM berada dalam landasan untuk memantapkan lagi pemain terutama beregu lelaki yang dilihat tidak konsisten. Sedikit sebanyak kehadiran Rexy mampu untuk memberikan idea kepada Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan)," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Zakry, Rexy juga sudah membuktikan kemampuannya sebelum ini apabila pernah membawa enam gandingan beregu lelaki negara untuk mengisi kedudukan 12 teratas dunia ketika menjadi jurulatih dari 2005 hingga 2012.

"Kiranya satu keputusan yang baik dilakukan oleh BAM dan nampak mereka lebih serius untuk merencanakan sesuatu menjelang Paris 2024. Rexy juga jurulatih yang berpengalaman dan pernah menaikkan Thailand sebelum ini. Tidak mustahil kita akan meraih emas pada temasya Olimpik akan datang.

"Gandingan dua legenda, Rexy dan Flandy Limpele (Ketua jurulatih beregu lelaki) juga akan mempercepatkan proses kematangan pemain pelapis tatkala kita tengok Indonesia mempunyai ramai pelapis yang mantap begitu juga dengan negara China. Saya harap pasangan pelapis negara juga cepat untuk sama taraf dengan pemain dari kedua-dua negara berkenaan," katanya.

Ditanya apakah sentuhan magis yang dimiliki Rexy tatkala beliau pernah berada di bawah bimbingan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, Zakry berkata, beliau amat bertuah kerana pernah mendapat sentuhan dari seorang jurulatih berperwatakan tegas.

"Beliau bukan garang tapi tegas, malah turut komited dengan kerjanya. Ketika berlatih memang sangat serius dan mempunyai jurang dengan pemain. Bagaimanapun, ketika di luar latihan beliau melayan kami sebagai rakan dan membuatkan pemain tidak berasa janggal. Kami bagaikan satu keluarga.

Rexy yang kontraknya dengan Persatuan Badminton Thailand (BAT) berakhir bulan ini, akan melaporkan diri untuk bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 1 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 1:46 PM